Semalam, Muhyiddin meminta Lim, Ketua Menteri Pulau Pinang, membuat laporan polis dan membiarkan polis menjalankan siasatan bagi menjelaskan keadaan sebenar kerana penafian sahaja tidak mencukupi.
“Penafian adalah tidak mencukupi. Kalau tidak buat, minta polis untuk siasat dan bersihkan nama,” katanya
Naib Presiden PKR N Surendran mahu Muhyiddin segera memohon maaf kepada Lim kerana membuat kenyataan sedemikian.
“Kami menggesa Umno-BN hentikan politik memfitnah,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Surendran, yang juga seorang peguam berkata, beliau terkejut kerana Muhyiddin sebagai pemimpin tertinggi negara sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan pelajar perempuan yang dikaitkan, Anya Sun Corke, yang didakwa menjadi mangsa sendiri telah menafikan perkara tersebut dan melahirkan rasa simpati kepada keluarga Lim, anak dan keluarganya.
“Dalam bertindak sedemikian, Anya Corke yang muda telah menunjukkan sikap lebih matang dan sopan berbanding timbalan perdana menteri negara kita,” kata Surendran dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, DAP menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegur timbalannya kerana memberi sokongan bulat-bulat kepada pemblog-pemblog pro-Umno untuk mengaibkan dan memusnahkan kehidupan anak Lim.
“Kami terkejut dan marah dengan (kenyataan) Timbalan Perdana Menteri yang dilaporkan berkata bahawa jika Ketua Menteri Pulau Pinang merasakan adalah penting untuk membetulkan maklumat, maka beliau seharusnya datang dengan kenyataan sangat keras. Penafian sahaja tidak mencukupi’,” kata Pua.



