Sepasang suami isteri warga emas yang mahu berbelanja "sakan" hasil duit tikam nombor ekor pada Hari Raya Korban ditahan dalam satu operasi cegah maksiat di Bukit Jambul, Bayan Baru baru-baru ini.
Operasi itu dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sekitar jam 3 petang ketika pasangan malang berkenaan dilihat ke kedai nombor ramalan dengan kereta.
Operasi itu dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sekitar jam 3 petang ketika pasangan malang berkenaan dilihat ke kedai nombor ramalan dengan kereta.
Tok Wan berusia 62 tahun. Nenek ditinggalkan dalam kereta sementara beliau mahu membeli nombor ekor.
Malang tidak berbau. Kelibat pihak penguat kuasa berjaya dihidu dek nenek, tetapi tidak sempat untuk menyelamatkan Tok Wan.
Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, warga emas berkenaan pada mulanya cuba meloloskan diri, namun gagal kerana seluruh kawasan berkenaan telahpun dikepung.
"Hasil pemeriksaan, kami merampas semua 38 tiket pertaruhan nombor ramalan itu untuk siasatan lanjut," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, operasi sama turut dilancarkan di Taman Desa Damai, Bukit Mertajam.
Operasi itu, menurut beliau, berjaya memberkas sembilan lelaki.
"Ketika ditahan, pelbagai alasan diberikan (oleh) kaki judi itu dan ada di antaranya memberitahu bahawa mereka sekadar suka-suka dan ingin cuba nasib,
"Mereka ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 (1) Enakmen kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 dan sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya," kata beliau.



