Perhimpunan Agung Umno 2011 yang masuk hari kedua hari ini hanya menjadi medan menghentam Pakatan Rakyat, bukan medium untuk memperkukuhkan parti ang telah memerintah negara lebih 54 tahun itu.
Semasa membahaskan ucapan Dasar Presiden, wakil Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz, menghentam kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa kononnya terbabit dengan pelbagai salah-laku dan penyelewengan.
Sambil berkata Umno Selangor telah bermuhasabah setelah kekalahan pedih semasa pru 2008, beliau mendakwa, Umno sudah nampak jalan untuk rampas kembali negeri ini.
“Kami di Selangor amat rasa pedih akibat kalah pada PRU12. Kami cemburu dengan negeri-negeri yang menang, rasa tersiksa di bawah pembangkang. Kami sudah bermuhasabah dan sudah nampak jalan untuk rampas kembali negeri ini.
Beliau turut mensasarkan kritikan terhadap pakar perlembagaan dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Abdul Aziz Bari kerana banyak mengeluarkan kenyataan yang tidak menyebelahi kerajaan.
“Saya cabar profesor Melayu ini letak jawatan segera dan masuk politik sebenar. Jangan guna institusi akademik untuk perlekeh kesultanan Melayu. UMNO akan pertahankan raja-raja Melayu
“(Rakyat) miskin bandar dan luar bandar masih ketara. Saya nak cadangkan jika benar nak kembalikan Selangor dan negeri-negeri yang tewas, kerajaan perlu dan wajib melipatgandakan peruntukan,” katanya.
Menurut Johan, bagi merampas semula Selangor, ahli Umno dan juga komponen BN tidak harus menikam belakang manakala kerjaan pusat perlu meningkatkan peruntukan kepada negeri itu.
“Kalau nak menang jangan tikam belakang, jangan main belakang. Saya pastikan rakan-rakan negeri Selangor berpendirian yang sama. Selangor tak main belakang, yang pasti kami tikam dan main depan, bukan belakang,” katanya.



