Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menganggap kejayaan anak Pulau Pinang berkenaan adalah sejarah yang bermakna bagi negeri dan negara.
Ujarnya, kebolehupayaan Nicol tidak boleh dipertikai lagi kerana pemain profesional itu berjaya mengekalkan prestasi cemerlang dalam tempoh yang begitu lama.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP turut memuji kekuatan mental dan kecekalan semangat Nicol.
Baginya, prestasi Nicol menyerlahkannya sebagai jaguh antarabangsa berbanding jaguh kampung yang lain.
“Kerajaan negeri akan menunggu kepulangan beliau ke Pulau Pinang untuk meraikan kemenangan beliau dalam satu jamuan rasmi.
“Pulau Pinang memang bangga atas pencapaian Datuk Nicol David,” ujarnya.
Dalam perkembangan yang sama, beliau mewakili kerajaan negeri turut merakamkan ucapan tahniah kepada Zulfadli Zulkifli (kanan) kerana berjaya muncul sebagai juara remaja perseorangan dunia badminton buat kali pertama dalam pertandingan di Taipei.
Itu, baginya adalah sejarah kecemerlangan Malaysia juga.
Nicol selaku pemain No. 1 dunia, mudah membenam pemain No. 2 dunia, Jenny Duncalf dari England 11-2, 11-5, 11-0 untuk ditabal sebagai juara dunia, semalam.
Sementara, Zulfadli pula melakar sejarah dengan menghadiahkan gelaran sulung Malaysia dalam perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia selepas menumpaskan Viktor Axelsen dari Denmark 21-18, 9-21, 21-19.



